Search this site

 

Keadaan Udara Berjerebu  
 

Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang mengalami udara berjerebu disebabkan oleh asap yang berpunca dari kebakaran hutan.

Menurut laporan dari Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi, angka indeks PSI pada hari ini iaitu 4 Ogos 2009, jam 4.00 petang adalah Brunei Muara 80, Belait melebihi 100, Temburong 51 dan Tutong 84. Keadaan ini akan menambahkan lagi masalah pernafasan kepada yang berisiko tinggi terutama sekali yang menghidap penyakit ampus atau asma, mempunyai masalah jantung dan dikalangan kanak-kanak dan orang-orang tua. Tanda-tanda dan simptom-simptom penyakit yang berkaitan dengan jerebu termasuk batuk, selesma, mata terasa gatal dan berair, sakit kerongkong dan sesak nafas.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai untuk menghadkan aktiviti-aktiviti luar. Penuntut-penuntut sekolah terutamanya adalah dinasihatkan supaya jangan membuat aktiviti-akitiviti luar seperti gerak badan, bersukan dan permainan luar semasa keadaan masih berjerebu. Aktiviti-aktiviti sedemikian melibatkan pernafasan yang kuat yang mana menyebabkan lebih banyak tersedutnya udara yang tercemar.

Seterusnya, orang ramai adalah dinasihatkan supaya banyak meminum air memandangkan cuaca yang panas pada masa ini dan juga untuk berjumpa doktor dengan seberapa segeranya jika mempunyai masalah-masalah atau simptom-simptom penyakit yang dinyatakan di atas.

Kementerian Kesihatan akan sentiasa memaklumkan mengenai nasihat-nasihat kesihatan yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

-TAMAT-

Tarikh: 13 Syaaban 1430/ 4 Ogos 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.