Search this site

 

PERLETAKKAN BATU ASAS PUSAT PENGASINGAN KEBANGSAANS  

Kementerian Kesihatan tidak lama lagi akan mempunyai sebuah Pusat Pengasingan Kebangsaan yang merupakan salah satu projek dalam Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012. Bangunan ini dijangka akan siap pada bulan Jun 2010 dengan belanja lebih kurang B$8.4 juta. Dengan wujudnya bangunan ini nanti, ia merupakan salah satu langkah pihak Kementerian Kesihatan bagi mempastikan keselamatan dan kesihatan penduduk di Negara ini akan terjamin.

Majlis Perletakkan Batu Asas bagi Pusat Pengasingan Kebangsaan diadakan hari ini, Khamis, 13 Ogos 2009. Hadir bagi menyempurnakan perletakkan batu asas Pusat Pengasingan Kebangsaan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan. Juga hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Abdul Salam bin Abdul Momin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Datin Paduka Dr Hajah Intan binti Haji Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional & Teknikal), Yang Mulia Haji Rosli bin Mustafa, Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran & Kewangan) serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Projek ini merupakan salah satu perancangan strategik pihak Kementerian Kesihatan di bawah penyelarasan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Perubatan dalam persediaan bagi keperluan semasa menghadapi sebarang krisis penyakit berjangkit yang mungkin melanda rantau ini. Pengalaman dunia dalam menangani penyakit berjangkit yang baru muncul seperti SARS, Selesma Burung dan Influenza ‘A’ (H1N1) telah menekankan perlunya mewujudkan kemudahan nasional bagi pengasingan dan kuarantin. Ini adalah untuk membolehkan pengurusan pesakit dikendalikan dengan teratur, selamat dan berkeyakinan dari segi kawalan penularan penyakit dan perlindungan perawat pesakit.

Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan terletak bersebelahan dengan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Tutong. Pusat ini akan dilengkapi dengan fasiliti tempat pemeriksaan (screening area), blok pentadbiran dan wad pesakit dalam (in-patient) yang mempunyai 27 buah katil. Jumlah keluasan lantai bagi keseluruhan bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan ialah 5,381 meter per segi.

Bangunan ini boleh digunasama dengan kes-kes penyakit berjangkit yang lainnya seperti TB dan Denggi. Pusat Pengasingan Kebangsaan ini juga akan digunakan bagi pengurusan dan penempatan kes-kes Penyakit Batuk-Kering (TB) iaitu penyakit berjangkit yang kedua lumrah di lapurkan di Negara Brunei Darussalam. Penempatan kes-kes TB ini nanti akan mempastikan yang kemudahan ini senantiasa digunakan serta berfungsi dan berkeupayaan dalam bersiapsedia menangani kes-kes penyakit berjangkit yang lebih serius. Kewujudan Pusat ini nanti akan dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai ke atas kemampuan pihak Kementerian ini dalam menangani dan menghadapi masalah-masalah yang boleh menggugat kesihatan orang ramai.

-Tamat-

Tarikh: 22 Syaaban 1430 / 13 Ogos 2009
 

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.