Search this site

 

Perintah Tembakau 2005 Dan Peraturan-Peraturannya 2007 Dua Orang Didenda Kerana Merokok Di Tempat Awam
 

Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Tembakau telah mengenakan denda kompaun ke atas dua orang lagi individu kerana didapati merokok di tempat yang ditegah merokok di bawah Bab 14 Perintah Tembakau 2005. Bagi kesalahan tersebut, kedua-dua individu berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND$150 (seratus lima puluh ringgit).

Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa merokok di tempat-tempat yang ditegah merokok adalah satu kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 dan Peraturan-peraturannya 2007. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun atau didakwa di mahkamah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi BND$1000 (seribu ringgit). Pada bulan Mei 2010, seramai 11 (sebelas) orang telah dikenakan denda kompaun kerana merokok di tempat-tempat awam.

Di antara kawasan-kawasan awam yang ditegah merokok termasuklah kaki-kaki lima kedai dan pusat membeli belah, pasar-pasar, gerai-gerai tamu, stesyen-stesyen dan perhentian-perhentian bas, restoran-restoran dan kedai-kedai makan serta bangunan-bangunan Kerajaan. Kementerian Kesihatan akan terus mengadakan pemantauan aktif dan mengambil tindakan undang-undang bagi mereka yang didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 dan Peraturan-peraturannya 2007 di seluruh negara. Bagi makluman orang ramai, kesalahan pertama merokok di tempat yang ditegah merokok akan dikenakan denda kompaun sebanyak $150 (seratus lima puluh ringgit) dan $300 (tiga ratus ringgit) bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan berikutnya, mereka yang didapati merokok di tempat-tempat awam akan dihadapkan ke mahkamah.


 


-End-



Tarikh: 21 Jamadilakhir 1431 / 4 Jun 2010

 

[ back ]

Copyright © Ministry of Health, Brunei Darussalam. All rights reserved.