Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum keluarga, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Adalah diambil maklum, Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-58 pada tahun 2005 telah diisytiharkan komitmen dan sokongan bagi pendermaan darah secara sukarela dan dimana seterusnya Resolusi WHA58.13 telah menetapkan setiap 14 Jun dirai sebagai Hari Penderma Darah Sedunia.
Hari Penderma Darah Sedunia ini diraikan adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menderma darah secara sukarela dalam bersama-sama membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang benar-benar memerlukannya terutama dalam kes-kes kemalangan, pembedahan, pendarahan dan sebagainya. Dari itu adalah benar-benar dialu-alukan dan digalakkan orang ramai yang berkeadaan sihat serta berkemampuan untuk tampil menderma secara berterusan.
Pada tahun 2010 ini, slogan Hari Penderma Darah Sedunia yang dipilih iaitu ‘Darah Baru Untuk Dunia’ dengan kempen difokuskan kepada penderma darah generasi muda yang berumur di lingkungan 18 hingga 24 tahun.
Sehubungan dengan itu adalah diharapkan para generasi muda akan dapat tampil dan untuk bersama-sama memainkan peranan dan menanamkan semangat bertanggungjawab dalam memberikan contoh tauladan kepada orang ramai bagi sama-sama menderma darah secara tetap dan sukarela demi untuk membantu para pesakit yang benar-benar memerlukan darah biskita.
Penderma darah generasi muda yang idealistik dan bermotivasi menderma secara sukarela tanpa imbalan atau ganjaran ini sudah setentunya akan menjadi teras kelompok penderma darah yang paling selamat untuk kegunaan pada bila-bila masa ianya dikehendaki demi menyelamatkan nyawa yang amat berharga.
Kita semua hendaklah mengambil maklum penderma darah secara tetap dan sukarela adalah sumber kehidupan komuniti dan diiktiraf sebagai sumber darah dan produk darah yang paling selamat bagi pesakit. Sehubungan itu, sumbangan mereka ini adalah satu pemberian yang altrustik dan bukannya komoditi untuk dipasarkan. Dari itulah timbulnya Hari Penderma Darah Sedunia ditubuhkan untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada penderma darah sukarelawan ini di atas pengorbanan dan pemberian mereka.
Seperti yang kita sedia maklum gantian darah setakat ini belum dapat dicipta oleh manusia. Oleh itu, penderma-penderma darah memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu dan menolong pakar-pakar perubatan memberi rawatan terutama dalam kes-kes kemalangan dan pembedahan keatas pesakit. Sehubungan itu dalam hal ini, Kementerian Kesihatan senantiasa mengambil langkah-langkah bukan sahaja untuk memastikan bekalan darah senantiasa tersedia tetapi yang lebih penting ialah darah-darah yang didermakan adalah selamat digunakan oleh sipenerima.
Dalam kesempatan ini, saya menyeru kepada semua yang berkelayakan terutama generasi muda untuk bersama-sama bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memperkembangkan lagi program-program penderma darah dalam sama-sama memastikan bahawa darah-darah yang diterima selamat digunakan dan senantiasa sedia ada dimasa-masa ianya sangat-sangat diperlukan.
Bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia 2010 ini, saya dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma darah sama ada yang tetap mahupun yang baru berkecimpung dalam pendermaan darah di atas bantuan mereka dalam menyelamatkan nyawa. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga tidak lupa saya ucapkan kepada pihak penyelaras kempen pendermaan darah atas usaha mereka yang tidak kendur-kendurnya dalam memastikan bekalan darah yang selamat senantiasa mencukupi dan tersedia ada bagi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukannya.
Akhirnya saya berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga atas sumbangan dan pengorbanan yang tulus ikhlas dalam memberikan bantuan kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan bantuan darah ini akan dikurniakan rahmat dan ganjaran pahala yang setimpal oleh Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin ya rabbal alamin.
-End-
1 Rejab 1431/14 Jun 2010
|