 Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Ke-10 serta Mesyuarat Ke-4 Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN + 3 (Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea) dan juga Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN + China Ke-3 berlangsung di Singapura, selama dua hari bermula pada 22 - 23 Julai 2010.
Mewakili Negara Brunei Darussalam di Mesyuarat-Mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yusof, Menteri Kesihatan bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Semasa berucap dalam Mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan, Menteri Kesihatan antara lainnya telah menyentuh mengenai cabaran-cabaran kesihatan yang dihadapi oleh Negara-negara ASEAN. Menurut Yang Berhormat Pehin, cabaran-cabaran tersebut boleh diatasi melalui kerjasama yang erat dan berpandukan kepada strategi-strategi yang digariskan dalam ASEAN
Socio Cultural Community Blueprint.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengetengahkan mengenai usaha-usaha Negara Brunei Darussalam untuk mempertingkatkan status kesihatan melalui Visi 2035 Kementerian Kesihatan ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’. Strategi kesihatan negara ini memfokus kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan komprehensif berasaskan penjagaan kesihatan asasi. Selain itu, ianya juga menekankan pelaksanaan program-program promosi kesihatan bagi mencegah pelbagai penyakit untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam ke arah yang lebih mantap dan berdayatahan.
 Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan tentang ancaman kemunculan penyakit-penyakit berjangkit serta impak pelbagai bencana yang memerlukan kesepaduan dan kerjasama serantau disamping mensejajarkannya dengan garispanduan antarabangsa.
Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Ke-10, Mesyuarat telah bersetuju terhadap beberapa resolusi termasuk
- Rangka Strategik Kesihatan dan Pembangunan bagi tahun 2010-2015 dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti kerjasama ASEAN berpandukan kepada Rangka Srategik ini;
- Piawaian Minima Penyiasatan dan Respons Bersama terhadap Wabak (Minimum Standards on Joint Multisectoral Outbreak Investigation and Response) yang bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan setiap negara dan serantau supaya sentiasa siapsiaga serta bertindak cepat dan berkesan dalam menghadapi kecemasan kesihatan;
- Menyarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya meneliti semula tahap kewaspadaan pandemik pada masa ini dan mengambil kira keadaan penyakit sebagai salah satu kriteria dalam menetapkan tahap kewaspadaan. Kesemua Negara Ahli ASEAN juga disarankan untuk meneruskan surveilans, perkongsian maklumat dan langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan di negara masing-masing;
- Penubuhan Makmal Rakankongsi ASEAN Plus Three (ASEAN Plus Three Partnership Laboratories) untuk mengukuhkan program surveilans makmal;
- Penetapan Hari Denggi ASEAN pada 15 Jun setiap tahun sebagai salah satu strategi advokasi untuk meningkatkan kesedaran awam bagi sama-sama mengambil tindakan pencegahan dan pengawalan penyakit denggi; dan
- Untuk ASEAN meneruskan hubungan strategik dan kerjasama dengan rakan-rakan dialog serta organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme , UNDP)
Sementara itu, dalam sesi ‘Retreat’ yang diadakan sejurus sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN, Menteri-Menteri berkenaan telah mengadakan perbincangan mengenai isu-isu kesihatan serantau dan antarabangsa, terutamanya tindakbalas terhadap pandemik influenza A (H1N1) dan penyakit-penyakit berjangkit lainnya serta isu-isu berkaitan Kerjasama Asia Timor dalam Bidang Kesihatan (East Asia Summit Health Cooperation).
Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Ke-10 ini juga diselajurkan dengan sesi dialog dasar kesihatan yang memberi penekanan kepada isu-isu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan yang mudah diperolehi, disamping turut membincangkan mengenai meningkatkan keberkesanan pembiayaan penjagaan kesihatan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga telah mengadakan Kunjungan Muhibbah dengan rakan sejawat Yang Berhormat Tuan Khaw Boon Wan, Menteri Kesihatan Singapura di mana Yang Berhormat Pehin telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kesihatan dirantau ASEAN dan antarabangsa.
Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga telah mengadakan pebincangan dua hala dengan Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia mengenai peningkatan kerjasama dalam bidang kesihatan diantara Negara Brunei Darussalam dengan Malaysia sebagaimana yang dipersetujui di bawah Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai.
Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN telah didahului oleh Mesyuarat Peringkat Pegawai-Pegawai Kanan pada 19-20 Julai 2010. Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Yang Mulia, Dato Paduka Haji Abd Salam bin Abd Momin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan dan beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan. Mesyuarat peringkat Pegawai Kanan telah membincangkan isu-isu teknikal termasuk perancangan Rangka Strategik Serantau ASEAN bagi tahun 2010 - 2015 dan beberapa bidang kerjasama di antara ASEAN dengan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
-End-
Tarikh: 23 Julai 2010
|