Khamis, 27 Safar 1447H / 21 Ogos 2025 – Pencapaian Negara Brunei Darussalam dalam bidang kesihatan digital menerusi aplikasi BruHealth telah mendapat perhatian oleh Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum, WEF) menerusi sebuah artikel khas yang disiarkan di blog rasmi WEF baru-baru ini.
Artikel tersebut yang bertajuk “How Brunei’s BruHealth Journey Charts The Future of Digital Health” memaparkan wawasan Kerajaan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan dalam menerajui transformasi kesihatan digital negara. Artikel ini mengetengahkan perjalanan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh daya tahan sistem kesihatan, memperkasa individu untuk bertanggungjawab terhadap kesihatan masing-masing, serta memanfaatkan “real-time” data untuk menyokong strategi kesihatan awam.
Antaralainnya, artikel tersebut menekankan bagaimana BruHealth telah berkembang melebihi peranan asalnya semasa pandemik, menjadi tunjang utama kepada agenda transformasi kesihatan negara yang lebih meluas. Ia kini menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pemantauan kesihatan peribadi, tempahan janji temu, rekod vaksinasi dan analisis kesihatan penduduk.
Penampilan Negara Brunei Darussalam di platform WEF ini merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan lagi komitmen negara terhadap inovasi dalam bidang kesihatan dan matlamat untuk membina komuniti yang lebih sihat dan berdaya tahan, selaras dengan Wawasan 2035 dan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan.
Artikel penuh boleh dibaca di laman rasmi World Economic Forum:
https://www.weforum.org/stories/2025/07/brunei-bruhealth-digital-health.
-TAMAT-
Tarikh: 27 Safar 1446H / 21 Ogos 2025
Rujukan: KK/PR/3/1