Selasa, 20 Ramadhan 1447H Bersamaan 10 Mac 2026M – Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Khatam Al-Quran dan Penyampaian Derma kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadhan pada tahun ini. Majlis tersebut diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. Majlis ini adalah anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Jabatan Perkhidmatan Makmal.
Tetamu Kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Ustaz Ahmad Syujaie bin Begawan Mudim Haji Matassim, Qari Kementerian Kesihatan. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Berhormat Tetamu Kehormat Majlis dan diikuti dengan Bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai dan seterusnya Doa Khatam.
Seterusnya, penyampaian derma kepada 27 orang anak yatim disempurnakan oleh Yang Berhormat Tetamu Kehormat Majlis. Penerima-penerima derma terdiri daripada anak-anak warga Kementerian Kesihatan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya. Di majlis ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Kementerian Kesihatan dan Cenderahati kepada Hakim Pertandingan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Yang Mulia Ustaz Hj Mohd Emmarul bin Hj Azamain, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan); Yang Mulia Pg Dr Haji Md Khalifah bin Pg Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan; Ketua-ketua Jabatan, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

– T A M A T –
Rujukan: KK/JDP/ PR 3