Ahad, 29 Rabiulakhir 1448H / 11 Oktober 2026 – Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan telah mengadakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Dart Kementerian Kesihatan Piala Pusingan Yang Berhormat Menteri Kesihatan Tahun 2026 di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah dan piala pusingan kepada para pemenang.
Kejohanan yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober 2026 ini mempertandingkan dua kategori, iaitu bergu dan perseorangan, yang disertai oleh pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan bahagian di bawah Kementerian Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan pertunjukan dart daripada wakil peserta Jabatan Perkhidmatan Kesihatan. Turut diserikan dengan perlawanan persembahan bergu antara pasukan Yang Berhormat Menteri Kesihatan dengan pasukan Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan.
Bagi kategori bergu, Kumpulan “Radiology Darters” dari Hospital RIPAS telah meraih gelaran johan dan membawa pulang Piala Pusingan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, tropi, pingat serta sijil penyertaan. Naib johan disandang oleh Kumpulan “The Power” dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan yang menerima tropi, pingat serta sijil penyertaan.
Sementara itu, Awg Damit bin Haji Kula dari Hospital RIPAS telah muncul sebagai johan kategori perseorangan dan menerima tropi, pingat serta sijil penyertaan. Naib johan, Redzuan bin Masli dari Hospital RIPAS menerima tropi, pingat serta sijil penyertaan.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan, di samping mencungkil bakat baharu dalam sukan dart. Kejohanan ini menyediakan platform kepada warga kementerian untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah yang sihat, memupuk semangat kesukanan serta menggalakkan hubungan kerjasama dan semangat berpasukan.

– T A M A T –
Rujukan : KK/PR/3/1