Isnin, 6 Jamadilakhir 1448H / 16 November 2026 – Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait telah mengadakan Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2026 bagi Daerah Belait.
Hari Diabetes Sedunia disambut setiap tahun sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai diabetes, kepentingan pencegahan, pengesanan awal, rawatan tepat pada masanya dan sokongan berterusan kepada individu yang hidup dengan diabetes. Sambutan ini juga memberi peluang kepada warga hospital dan orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang betul daripada profesional kesihatan serta menjalani pemeriksaan kesihatan asas.
Pada tahun ini, tema sambutan Hari Diabetes Sedunia 2026 ialah
“Early Action on Diabetes” (Tindakan Awal terhadap Diabetes) yang menekankan bahawa tindakan awal boleh bermula sebelum diagnosis melalui pengenalpastian faktor risiko, pemeriksaan kesihatan dan perubahan gaya hidup. Bagi individu yang telah didiagnosis, tindakan awal merangkumi pematuhan rawatan, pemantauan berkala dan pengesanan komplikasi supaya intervensi dapat diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tindakan awal dalam pencegahan, pengesanan dan pengurusan diabetes. Ia juga memberi penekanan kepada pengenalpastian faktor risiko, pemeriksaan awal, amalan gaya hidup sihat, pemantauan dan pematuhan rawatan serta pencegahan komplikasi diabetes. Selain itu, sambutan ini bertujuan memperluas pengetahuan masyarakat dan profesional kesihatan serta memperkukuh kerjasama multidisiplin dalam penjagaan pesakit diabetes.
Tetamu Kehormat pada majlis ini ialah Yang Mulia Mohamad Alikhan bin Haji Mohd Yakop, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tkt 1, Hospital Suri Seri Begawan. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ustaz Haji Md Ali Omar, Ketua Guru Ugama. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi Bersama Majlis iaitu Dr Dilip Thottacherry, Konsultan Perubatan, Klinik Pakar Perubatan, Hospital Suri Seri Begawan dan seterusnya perasmian majlis Sambutan Hari Diabetis Sedunia oleh tetamu kehormat majlis.
Antara aktiviti lain semasa sambutan berkenaan ialah pemeriksaan kesihatan, pameran mini serta gerai jualan makanan dan minuman sihat yang diadakan di Ruang Legar Klinik Pakar (Aras Bawah), Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait. Orang ramai dialu-alukan hadir bagi memeriahkan aktiviti-aktiviti ini yang akan diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai serta kakitangan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

-TAMAT-
Tarikh: 6 Jamadilakhir 1448H / 16 November 2026