ARAHAN MENGENAI DASAR PENGASINGAN DIRI
(dikemaskini 17 Mac 2020)
Mulai 17 Mac 2020, sesiapa yang tiba di Negara Brunei Darussalam, tanpa mengira kerakyatan adalah dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri. Mereka akan diberikan Notis Pengasingan Diri di pos-pos kawalan masuk di negara ini. Dibawah Akta Penyakit Berjangkit, Penggal 204, mereka adalah (i) dimestikan untuk tinggal di rumah sahaja dan (ii) tidak dibenarkan untuk memasuki mana-mana tempat awam selama 14 hari dari tarikh ketibaan. Kegagalan menuruti perintah pengasingan diri ini adalah satu kesalahan undang-undang. Jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi B$10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.
Awda mestilah mendapatkan nasihat kesihatan melalui Talian Nasihat Kesihatan 148 jika awda mengalami demam panas, atau tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk atau sesak nafas sepanjang tempoh pengasingan.
Di sepanjang tempoh pengasingan diri, awda hendaklah mematuhi nasihat kesihatan berikut:
Hadkan hubungan dengan ahli keluarga awda di rumah. Seboleh-bolehnya gunakan bilik yang berasingan, atau sekurang-kurangnya pastikan awda menjauhkan diri dalam jarak dua meter dari orang lain (seperti tidur di katil yang berasingan dari pasangan awda, terutamanya jika pasangan awda tidak diarahkan untuk mengasingkan diri).
Cuci tangan dengan sabun dan air dengan kerap, terutamanya sebelum dan selepas menyediakan makan, sebelum makan, selepas menggunakan tandas dan apabila tangan kotor.
Pastikan kawasan umum (seperti dapur atau bilik mandi) dan bilik awda mempunyai pengudaraan yang baik (buka tingkap beberapa jam setiap hari)
Pakai penutup hidung dan mulut (mask) jika awda berdekatan dengan orang lain.
Gunakan tisu atau tuala pakai buang (napkin) untuk mengelap tangan awda, atau tuala yang khusus untuk awda sendiri dan diganti apabila basah.
Buang atau cuci tuala yang sudah dipakai untuk menutup mulut atau hidung awda (cuci sapu tangan sepenuhnya menggunakan sabun pencuci dan air).
Simpan barang-barang yang telah digunakan dan yang hendak dibuang seperti tisu, penutup hidung dan muka, dan sisa buangan pepejal lain di dalam beg plastic yang berasingan sebelum dibuang ke tong sampah.
Elakkan berkongsi peralatan makanan, minuman, tuala, kain cucian, cadar dan selimut. Bersihkan pinggan mangkuk sendiri menggunakan cecair pencuci pinggan dan air.
Kerap mencuci permukaan meja, katil dan perabot bilik awda dengan cecair pembunuh kuman yang biasa didapati di rumah (seperti Clorox atau Dettol).
Kerap mencuci tempat mandi, lantai dan tandas meggunakan cecair pembunuh kuman seperti Clorox.
Pakaian, cadar, selimut dan tuala yang telah dipakai boleh dicuci dengan sabun pencuci pakaian dan air. Kumpulkan pakaian dan barangan kotor pada satu bekas.
Elakkan dari keluar rumah atau pergi ke tempat awam di sepanjang tempoh pengasingan.
UNTUK MAKLUMAN LANJUT MENGENAI DASAR PENGASINGAN DIRI INI, SILA HUBUNGI TALIAN NASIHAT KESIHATAN 148.
-------------------------------------------------------------------------------------------
OTHER LANGUAGES
-------------------------------------------------------------------------------------------