Isnin, 11 Rabiulawal 1448H bersamaan 24 Ogos 2026 – Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong telah mengadakan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyusuan susu ibu secara eksklusif.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Hajah Siti Hasrainah binti Haji Mohd Hassan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat I, Hospital PMMPMHAMB, Tutong.
Bertemakan “Penyusuan Susu Ibu Demi Permulaan Kehidupan yang Mampan: Memperkukuh Amalan yang Berkesan” (Breastfeeding for a Start in Life: Strengthen What Works), majlis tersebut bertujuan untuk memperkasakan para ibu dan pasangan mereka melalui pemberian maklumat serta sokongan berterusan dalam menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Siti Halimah binti Md Tahir, Pegawai Jururawat Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital PMMPMHAMB, selaku Pengerusi Majlis Sambutan.
Antara pengisian utama majlis termasuk sesi perkongsian pengalaman oleh penceramah jemputan, Yang Mulia Dayang Joeliza binti Haji Justin, mengenai pengalamannya menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif. Majlis turut diserikan dengan tayangan video khas mengenai kepentingan sokongan terhadap penyusuan susu ibu.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital PMMPMHAMB, Tutong.

-TAMAT-
Tarikh: 11 Rabiulawal 1448H / 24 Ogos 2026
Rujukan: KK/PR/3/1