Isnin, 7 Zulhijjah 1447H / 25 Mei 2026 – Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Dr Hjh Rafidah binti Hj Gharif, telah berkesempatan untuk menghadiri satu perjumpaan dan sesi dialog bersama penuntut-penuntut bidang perubatan, pergigian, kejururawatan, farmasi dan profesional kesihatan bersekutu (allied health professional) serta doktor-doktor yang sedang mengikuti latihan kepakaran,di kota Glasgow, Scotland, United Kingdom pada hari Sabtu, 23 Mei 2026. Sesi berkenaan diadakan sebagai platform interaksi dan perkongsian pandangan antara pihak Kementerian Kesihatan dengan para pelajar Brunei yang sedang menuntut di luar negara, khususnya dalam bidang strategik yang berkaitan dengan pembangunan sistem penjagaan kesihatan negara.
Dalam sesi tersebut, Yang Mulia Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif menekankan beberapa isu penting yang berkait rapat dengan hala tuju serta keperluan semasa sektor kesihatan negara. Antaranya ialah kapasiti tenaga kerja tempatan dalam bidang perubatan dan kesihatan yang belum mencukupi bagi menampung penyediaan perkhidmatan kesihatan seluruhnya di negara ini. Sehubungan itu, beliau mengingatkan para pelajar mengenai pelaburan besar yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi membiayai pendidikan dan latihan dalam bidang yang berkaitan dengan kesihatan, yang melibatkan kos yang amat tinggi demi memastikan negara memiliki sumber tenaga profesional yang berkelayakan, kompeten dan berdaya saing.
Yang Mulia Pemangku Setiausaha Tetap juga turut menegaskan bahawa peluang menimba ilmu dan menjalani latihan di institusi-institusi terkemuka di luar negara merupakan satu keistimewaan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknik, prosedur klinikal serta teknologi perubatan terkini, malah berupaya memperkayakan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan di negara ini pada masa hadapan. Beliau seterusnya menyatakan bahawa kepakaran dan pengalaman antarabangsa yang dibawa pulang oleh para graduan kelak akan menjadi pemangkin penting kepada usaha transformasi dan penambahbaikan berterusan sistem penjagaan kesihatan negara, selaras dengan piawaian serta amalan terbaik kesihatan di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, pelajar-pelajar dan doctor-doktor juga turut di seru agar sentiasa mengekalkan imej profesionalisme yang tinggi serta mengamalkan nilai integriti, disiplin dan etika kerja yang cemerlang sepanjang tempoh pengajian dan latihan klinikal mereka. Beliau menekankan bahawa profesion perubatan bukan sahaja menuntut kecemerlangan akademik dan teknikal, malah memerlukan sifat empati, belas ihsan dan kepekaan dalam berinteraksi dengan pesakit serta masyarakat umum, dimasa yang sama untuk sentiasa menjaga kesihatan mereka sendiri dari segi fizikal, mental dan psikologikal. Menurut beliau, para pelajar merupakan aset berharga negara dan bakal memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam.
Di akhir sesi tersebut, Yang Mulia Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif turut menyuarakan harapan agar para pelajar akan kembali berkhidmat di tanah air setelah menamatkan pengajian masing-masing, seterusnya menyumbang kepakaran dan tenaga dalam memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara. Beliau menegaskan bahawa komitmen serta dedikasi generasi profesional kesihatan masa depan amat penting dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah sistem kesihatan yang mampan, progresif dan berdaya tahan.
Sesi dialog berkenaan telah disertai oleh seramai 110 orang pelajar, termasuk 35 orang yang mengikuti sesi tersebut secara dalam talian. Perjumpaan dan sesi perkongsian yang diungkayahkan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan hubungan dan jaringan komunikasi bersama para pelajar Brunei di luar negara, khususnya dalam bidang perubatan dan kesihatan. Inisiatif seumpama ini juga merupakan satu pelaburan strategik negara dalam membentuk generasi profesional kesihatan yang berkualiti, berwibawa dan berdaya saing demi menjamin masa depan sistem penjagaan kesihatan negara yang lebih cemerlang.
-TAMAT-
Rujukan: KK/JDP/PR 3