Sabtu, 26 Syaaban 1447H / 14 Februari 2026 – Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengadakan sesi taklimat mengenai kerjaya dalam penjagaan kesihatan untuk pemimpin sekolah dan guru kerjaya bagi sekolah-sekolah menengah, maktab dan tingkatan enam di bawah Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama serta dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sesi taklimat telah berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Sesi taklimat tersebut adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan yang komprehensif mengenai pelbagai laluan kerjaya dalam bidang penjagaan kesihatan serta prospek pembangunan profesional dalam sektor kesihatan negara. Inisiatif ini juga berperanan memperkukuhkan kefahaman pemimpin sekolah dan guru kerjaya dalam membimbing serta mendorong pelajar-pelajar yang berpotensi untuk meneroka peluang melanjutkan pengajian dalam bidang penjagaan kesihatan.
Hadir selaku penceramah utama ialah Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan selaku Pemangku Setiauasaha Tetap Kementerian Kesihatan yang menyampaikan taklimat mengenai peranan dan fungsi profesion penjagaan kesihatan di Kementerian Kesihatan serta perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang disediakan. Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai dari Unit Pendidikan Kerjaya Kementerian Pendidikan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Kesihatan.
Taklimat turut disampaikan oleh Pengiran Dr Nurolaini binti Pengiran Haji Muhammad Kifli, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik), Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah Universiti Brunei Darussalam, yang mengongsikan maklumat mengenai program-program pengajian berkaitan penjagaan kesihatan yang ditawarkan di institut tersebut.
Sesi ini mencerminkan komitmen berterusan oleh agensi-agensi Kerajaan dalam memastikan perancangan pembangunan tenaga kerja kesihatan negara dapat dilaksanakan secara strategik dan mampan.

-TAMAT –
Rujukan: KK/JDP/ PR 3