Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN
YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR 
MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI DIABETIS SEDUNIA 2019

TEMA: “DIABETIS: LINDUNGI KELUARGA AWDA”
(DIABETES: PROTECT YOUR FAMILY)

14 NOVEMBER 2019

1. Penyakit diabetis atau kencing manis adalah sejenis penyakit kronik disebabkan organ pankreas yang tidak lagi berupaya untuk menghasilkan hormon insulin ataupun apabila badan tidak dapat menggunakan hormon insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas dengan baik justeru itu menyebabkan peningkatan tahap gula dalam darah yang dikenali sebagai hyperglycaemia. Kadar tahap gula yang tinggi dalam darah secara berpanjangan akan menyebabkan kerosakkan dan kegagalan fungsi organ dan tisu di dalam badan. Walaupun terdapat banyak faktor penyebab penyakit diabetis, kajian mendapati bahawa tingkah laku dan cara hidup khususnya yang berkaitan dengan pembandaran (urbanisation) adalah merupakan faktor penyebab utama. Ini termasuk amalan pemakanan tidak sihat dan gaya hidup yang tidak aktif.

2. Hari Diabetis Sedunia disambut setiap tahun pada 14 November. Pada tahun ini, tema sambutan ialah Diabetes: Lindungi Keluarga Awda. Tema ini mengingatkan semua bahawa penyakit diabetis bukan hanya memberi kesan kepada pesakit, malah juga menjejaskan ahli keluarga. Menurut 8th Edition International Diabetes Federation (IDF) Atlas yang dikeluarkan pada tahun 2017, seramai lebih 425 juta penduduk dunia menghidap penyakit diabetis. Jumlah ini dijangka akan meningkat mencecah 625 juta menjelang tahun 2045 sekiranya tidak ada pelan tindakan dilaksanakan untuk mengawal atau menangani peningkatan isu ini. Tambahan lagi, penyakit diabetis disenaraikan sebagai punca utama kematian yang ke-tujuh tertinggi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2016 dan telah menyebabkan kematian kepada 4 juta penduduk dunia pada tahun 2017 seperti yang dilaporkan oleh IDF.

3. Di Negara Brunei Darussalam, perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mendapati bahawa penyakit diabetis terus kekal menjadi punca kematian ke-tiga tertinggi semenjak tahun 2012, yang mana kadar kematian berpunca daripada penyakit diabetes adalah setinggi 10.1% pada tahun 2017. Kajiselidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2011 (NHANNS) melaporkan bahawa sebanyak 12.4% penduduk Negara Brunei Darussalam adalah menghidap penyakit diabetis. Manakala, Kajiselidik Cross-sectional STEPwise Approach to Surveillance (STEPS) Population Survey of Noncommunicable Diseases (NCDs) and Risk Factors in Brunei Darussalam telah mendapati bahawa seramai 9.7% penduduk Negara Brunei Darussalam mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi.

4. Apa yang kita perlu ketahui mengenai penyakit diabetis adalah ianya juga boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang membawa kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung. Penyakit diabetis adalah merupakan punca utama penyakit buah pinggang yang memerlukan dialisis. Di Negara Brunei Darussalam, dianggarkan seramai 800 pesakit (lebih kurang 90%) yang menjalani terapi penggantian buah pinggang (renal replacement therapy) memerlukan hemodialisis. Penyakit jantung koronari pula adalah merupakan punca kematian kedua tertinggi, yang mana sebahagian besar daripadanya adalah berpunca dari penyakit diabetis. Natijahnya, pesakit diabetes perlu mengawal penyakitnya dengan baik bagi mencegah komplikasi yang lebih memudaratkan. Ini dapat dilakukan dengan mendapatkan intervensi perubatan awal, mematuhi arahan pengambilan ubat serta pengamalan cara hidup yang sihat.

5. Tema Sambutan Hari Diabetis Sedunia pada tahun ini menggariskan tiga mesej utama yang menyeru semua orang termasuk ahli keluarga dan masyarakat untuk:

 Kesan Diabetis (Discover Diabetes). Pengesanan awal diabetis memerlukan penglibatan ahli keluarga dengan mengetahui langkah-langkah untuk mengenali risiko diabetis. Ini kerana 1 dalam 2 penyakit diabetis didapati masih belum dapat dikesan (remains undiagnosed). Pengesanan awal dan rawatan betul akan memberikan impak yang signifikan bagi seseorang yang mempunyai risiko diabetis.

 Cegah Diabetis Jenis 2 (Prevent Type 2 Diabetes). Diabetis boleh dicegah dengan mengamalkan amalan cara hidup sihat. Kita selaku orang Brunei mempunyai budaya yang mementingkan ikatan kekeluargaan. Jika semua ahli keluarga mengamalkan makanan sihat dan bersenam bersama, setentunya seluruh ahli keluarga akan mendapat manfaatnya dan akan dapat menggalakkan tingkahlaku yang boleh mencegah penyakit diabetis jenis 2 di dalam keluarga.

 Urus diabetis (Manage diabetes). Setiap ahli keluarga memainkan peranan yang penting dalam penjagaan pesakit diabetis. Sokongan keluarga merupakan kunci utama dalam membantu pesakit mengurus rawatan dan memantau diabetis.

6. Tema sambutan pada tahun ini mengingatkan kita penyakit diabetis bukan sahaja boleh menjejaskan pesakit tetapi ianya juga boleh memberikan kesan terhadap psikologi, sosial dan ekonomi sesebuah keluarga. Ahli keluarga memainkan peranan penting dalam penjagaan pesakit diabetis. Kajian daripada IDF mendapati lebih separuh pesakit diabetis merasakan diagnosis diabetis mereka memberikan tekanan terhadap keluarga. Ianya dapat dilihat dari tekanan emosi dan kewangan yang dikaitkan dengan penyakit diabetis. Sokongan kepada keluarga melalui pendidikan serta akses kepada penjagaan dan ubat-ubatan yang berpatutan perlu dipertingkatkan agar pesakit diabetis dapat mengekalkan hidup yang sihat. Kajian mengenai aspek psikososial diabetis mendapati separuh daripada responden, yang terdiri daripada ahli keluarga dan penjaga pesakit diabetes, mengatakan mereka ingin membantu orang yang menghidap diabetis dan mereka ingin lebih terlibat di dalam penjagaan ahli keluarga yang menghidap diabetis.

7. Dalam hubungan ini, pihak Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan yang komprehensif bagi merawat dan mengurus pesakit-pesakit diabetis di Pusat-pusat Kesihatan dan Hospital. Ini termasuk perkhidmatan Jururawat Pendidikan Diabetis (Diabetic Nurse Educators), yang bukan sahaja dapat mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pesakit-pesakit Diabetis malah juga berperanan sebagai sumber dan pendorong bagi ahli-ahli keluarga dan penjaga pesakit. Dalam hubungan ini, saya amat mengalu-alukan para pesakit, ahli-ahli keluarga dan penjaga pesakit Diabetis untuk memanfaatkan perkhidmatan tersebut dan yang sedia ada demi untuk sama-sama lebih prihatin dalam pengawalan penyakit diabetis.

8. Disamping itu, dalam usaha untuk mencegah dan mengesan penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit diabetes, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan juga telah mengenalkan Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan yang baru dilancarkan pada tahun ini. Antara jenis pemeriksaan yang terkandung dalam Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini ialah pemeriksaan faktor-faktor risiko penyakit diabetes yang dijalankan di semua pusat kesihatan kerajaan di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam. Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini antaralain Insya Allah akan dapat membantu mengenalpasti faktor-faktor risiko bagi penyakit diabetes seperti kadar gula yang lebih dari normal dan indeks jisim badan yang berlebihan serta faktor-faktor risiko bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain. Dalam kesempatan ini, saya ingin memberikan saranan kepada orang ramai untuk memanfaatkan program pemeriksaan tersebut agar orang ramai boleh mendapatkan rawatan awal dan membolehkan pengawalan penyakit yang lebih baik.

9. Kementerian Kesihatan melalui Pelan Strategik 2019-2023 Insya Allah akan terus berusaha untuk memastikan setiap rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam akan mendapat penjagaan kesihatan yang saksama dan mudah diakses serta menyediakan sistem penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Pada masa yang sama jua, Kementerian Kesihatan juga akan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan penyakit tidak berjangkit, termasuk penyakit diabetis dan sentiasa mempromosi kesejahteraan hidup di semua peringkat usia. Kita perlu bangkit bersama untuk mencegah dan menentang diabetis serta melindungi keluarga kita daripadanya.



-TAMAT-


Attachments