Selasa, 08 Syaaban 1447H / 27 Januari 2026 – Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj hari ini, bertempat di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan yang dikelolakan oleh Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan.
Majlis Sambutan Israk dan Mikraj ini dianjurkan bagi memperingati peristiwa Isra’ Mi‘raj Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa ini membawa mesej dakwah dan peringatan mengenai kedudukan Baginda sebagai Rasulullah, serta menyeru umat Islam untuk terus meningkatkan keimanan, ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata‘ala (SWT) dan meneladani akhlak mulia Baginda.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Yang Mulia Muhammad Haziq bin Haji Awang, Pegawai Tugas-Tugas Khas (SkiPPA). Di Majlis ini, Penceramah Undangan, Yang Mulia Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama dari Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang’.
Turut hadir di majlis sambutan ini ialah Yang Mulia Dr Hjh Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Pg Mohammad Khiruddin bin Pengiran Hj Yusoff, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Ketua-ketua Jabatan; pegawai-pegawai serta kakitangan di Kementerian Kesihatan.

– TAMAT –
Rujukan: KK/JDP/ PR 3