Rabu, 9 Syaaban 1447H / 28 Januari 2026 – Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai situasi terkini jangkitan Virus Nipah di Negara Brunei Darussalam berikutan laporan pengesanan kes di negara India baru-baru ini.
Jangkitan virus Nipah ialah sejenis penyakit zoonotik yang dibawa oleh beberapa haiwan seperti kelawar jenis Pteropus (fruit bat) dan juga khinzir. Jangkitan berlaku melalui makanan seperti buah-buahan yang telah terdedah kepada cecair daripada haiwan tersebut. Selain itu, seseorang itu juga boleh dijangkiti melalui kontak rapat dengan individu yang telah dijangkiti.
Wabak Virus Nipah pertama kali dikesan pada tahun 1999 di Malaysia dan Singapura, dan didapati berpunca daripada khinzir yang telah dijangkiti. Walau bagaimanapun, tiada lagi kes dilaporkan di kedua-dua negara tersebut selepas itu. Akan tetapi, wabak Virus Nipah terus dilaporkan berlaku di Bangladesh dan India sejak tahun 2001 yang dipercayai berpunca daripada pendedahan terhadap haiwan iaitu kelawar buah (fruit bat) melalui buah-buahan atau air buah nira kurma mentah yang tercemar. Selain itu, jangkitan terhad sesama individu juga telah dilaporkan. Setakat tahun 2025, sejumlah 347 kes telah dilaporkan di Bangladesh dan 107 kes di India.
Simptom awal jangkitan Virus Nipah menyerupai jangkitan virus lain termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, muntah, sakit tekak. Jangkitan ini juga boleh menyebabkan keradangan otak (acute encephalitis) yang menyebabkan simptom seperti pening kepala, sawan, perubahan terhadap tahap kesedaran seseorang dan juga koma. Selain itu, individu yang dijangkiti juga boleh mengalami kesukaran bernafas.
Jangkitan virus Nipah mempunyai kadar kematian yang tinggi iaitu antara 40% hingga 75%. Pada masa ini, belum ada vaksin atau rawatan khusus bagi jangkitan virus Nipah. Rawatan yang diberikan hanyalah sebagai rawatan sokongan.
Setakat 26 Januari 2026, India telah melaporkan lima kes baharu Virus Nipah di negeri West Bengal sejak pertengahan Januari tahun ini. Kesemua kes melibatkan petugas kesihatan. Walaubagaimanapun, hanya dua kes disahkan melalui ujian makmal, manakala keputusan bagi kes lain masih belum diketahui. Kes-kes tersebut kini berada di bawah pemantauan dan menerima rawatan rapi dan semua kontak rapat yang dikenal pasti diarahkan menjalani kuarantin. Punca jangkitan masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Alhamdulillah, setakat ini tidak ada kes jangkitan Virus Nipah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Berdasarkan penilaian risiko oleh WHO, risiko jangkitan kepada negara Brunei Darussalam pada masa ini adalah pada tahap rendah memandangkan tidak ada penularan yang berterusan (sustained transmission) di negara-negara terbabit.
Sebagai langkah pencegahan utama terhadap jangkitan ini, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah seperti tidak memakan buah-buahan yang disyaki tercemar iaitu termasuk air buah nira kurma yang mentah, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang kurang sihat dan mengelakkan daripada bersentuhan atau terdedah dengan cecair badan individu yang diketahui atau disyaki terjangkit. Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi termasuk:
- Kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun, atau hand sanitizer (terutamanya sebelum mengendalikan makanan, sebelum makan, selepas menggunakan tandas, atau selepas batuk atau bersin);
- Amalkan etika batuk dan bersin yang betul, serta memakai penutup muka (face mask) jika awda mempunyai simptom jangkitan pernafasan terutamanya ketika berada di tempat tertutup atau sesak;
- Menutup mulut dengan tisu apabila batuk atau bersin, dan segera buang tisu tersebut ke dalam tong sampah;
- Elakkan dari mendekati orang yang sakit, kurang sihat atau yang menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti demam panas, batuk atau sesak nafas;
- Mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk; dan
- Sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat.
Bagi mereka yang mengunjungi kawasan yang terjejas oleh Virus Nipah adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan kesihatan seperti yang dinyatakan di atas serta memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada petugas kesihatan sekiranya mendapatkan rawatan.
Kementerian Kesihatan sentiasa memantau situasi di dalam negara serta mengikuti perkembangan di peringkat serantau dan global dan akan memastikan kesiapsiagaan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Kementerian Kesihatan akan memaklumkan orang ramai dari semasa ke semasa mengenai sebarang perkembangan terkini. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Kementerian Kesihatan @mohbrunei atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.
– T A M A T –
Rujukan: KK/JDP/PR 3