Rabu, 23 Zulhijjah 1447H / 09 Jun 2026M – Kementerian Kesihatan dan DST Managed Services Sdn Bhd (DMS) telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian bagi Penyediaan Tenaga Kerja bagi Health, Safety and Environment (HSE) Unit.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah berlangsung di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku, dengan kehadiran Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Md Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan sebagai Tetamu Kehormat.
Menandatangani bagi pihak Kementerian Kesihatan ialah Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), manakala saksi ialah Yang Mulia Dayang Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap, Kemeterian Kesihatan.
Bagi pihak DMS pula, menandatangani perjanjian ialah Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Chairman of DMS dan Yang Mulia Awang Osmali Bin Othman, DMS Chief Executive Officer selaku saksi.
Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan DMS ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar. Melalui kepakaran profesional yang disediakan, kerjasama ini akan membolehkan hospital dan pusat kesihatan meningkatkan lagi protokol keselamatan, menjalankan penilaian risiko secara menyeluruh, serta membudayakan amalan keselamatan. Usaha bersama ini akan memberi manfaat kepada pesakit, kakitangan, serta masyarakat amnya dengan memastikan pematuhan terhadap
keperluan peraturan, mengurangkan risiko dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Di bawah projek selama tiga tahun, seramai dua puluh dua orang kakitangan DMS kini ditempatkan bagi menyokong Unit HSE Kementerian Kesihatan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan dalam memperkukuhkan keselamatan tempat kerja, pemantauan kesihatan serta pengurusan alam sekitar di fasiliti-fasiliti kesihatan seluruh negara.
DMS telah menyokong Kementerian melalui perjanjian satu tambah satu tahun, dengan menempatkan enam orang kakitangan bagi membantu Unit HSE dalam membangunkan dasar kesihatan, keselamatan dan alam sekitar serta prosedur operasi standard. Berdasarkan hasil positif tersebut, perjanjian baharu ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap perkhidmatan DMS serta matlamat bersama untuk mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang selamat.
Turut hadir di Majlis tersebut ialah Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kesihatan bersama-sama ahli Pasukan Pengurusan Kanan DMS serta pasukan projek berkenaan.
– T A M A T –
Rujukan: KK/PR/3/1