Rabu, 16 September 2026M / 4 Rabiulakhir 1448H – Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan telah mengadakan Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan.
Sambutan pada tahun ini mengetengahkan tema “Penjagaan Selamat bagi Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit” (“Safe Care for Noncommunicable Diseases”), dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pesakit dalam pencegahan, pengesanan, diagnosis, rawatan dan pengurusan penyakit-penyakit tidak berjangkit.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa kesyukuran yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd. Emmarul bin Haji Azamain, Guru Ugama, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pg Dr Hajah Siti Nasibah binti Pg Haji Ismail, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan. Tetamu Kehormat kemudiannya menyempurnakan perasmian Pameran Keselamatan Pesakit bagi Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit dan seterusnya melawat pameran.
Pameran interaktif bertemakan perjalanan pesakit merupakan pengisian utama sambutan. Pameran tersebut membawa para pengunjung melalui enam peringkat penjagaan iaitu hubungan pertama dan saringan; diagnosis dan pengurusan; pengurusan ubat-ubatan; penjagaan kendiri; kehidupan sihat bersama penyakit tidak berjangkit; serta kecemasan dan kejadian akut.
Melalui aktiviti interaktif, demonstrasi dan permainan pendidikan, para pengunjung diperkenalkan kepada langkah-langkah keselamatan yang penting pada setiap peringkat penjagaan. Ini termasuk kepentingan pengesanan awal, komunikasi yang jelas antara pesakit dan petugas kesihatan, penggunaan ubat-ubatan secara selamat, pemantauan kesihatan serta penjagaan diri, kesinambungan penjagaan di rumah, serta pengenalpastian awal tanda-tanda bahaya yang memerlukan rawatan segera.
Sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko keselamatan dalam penjagaan penyakit-penyakit tidak berjangkit serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah kemudaratan yang boleh dielakkan. Sambutan ini turut menekankan peranan pesakit, keluarga dan masyarakat sebagai rakan kongsi aktif dalam memastikan penjagaan yang selamat dan berkualiti.
Hari Keselamatan Pesakit Sedunia disambut pada 17 September setiap tahun sebagai salah satu inisiatif global Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam meningkatkan kesedaran dan tindakan berkaitan keselamatan pesakit. Kementerian Kesihatan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan pesakit pada setiap peringkat penjagaan penyakit tidak berjangkit, selaras dengan Pelan Tindakan Keselamatan Pesakit Global 2021–2030.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

– T A M A T –
Rujukan: KK/PR 3/1