Khamis, 26 Rabiulakhir 1448H / 8 Oktober 2026 – Kementerian Kesihatan melalui Seksyen Kualiti, Unit Kualiti dan Keselamatan Pesakit, mengadakan Forum Compassionate Health Care bertemakan “Caring with Heart” di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian forum ialah Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Md Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Forum ini bertujuan untuk memupuk dan membudayakan penjagaan kesihatan yang penuh belas ihsan, titih dan lutanan dengan menekankan nilai empati, rasa hormat serta keprihatinan terhadap keperluan pesakit. Pendekatan ini merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi, sosial dan rohani pesakit, di samping menyokong keselamatan pesakit serta kesejahteraan petugas kesihatan.
Bertemakan “Caring with Heart”, forum ini mengetengahkan kepentingan memberikan perawatan dan penjagaan dengan hati yang tulus ikhlas serta penuh rasa tanggungjawab. Sesi forum bertajuk “The Clinical Imperative: Balancing High Tech with High Touch” memberi tumpuan kepada keseimbangan antara penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan dengan sentuhan kemanusiaan. Kemajuan teknologi perlu disertai dengan komunikasi yang berkesan, empati dan hubungan yang baik antara pesakit dengan petugas kesihatan bagi membina kepercayaan serta meningkatkan mutu penjagaan.
Panel forum terdiri daripada Dr. Dayang Hajah Rohayati binti Haji Mohd Taib, Konsultan Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha; Awang Ahmad Zahid bin Mohd Daud, Pegawai Psikologi, Kementerian Kesihatan; Dayang Hajah Noridah binti Haji Abdul Halim, Pegawai Jururawat, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha; dan Ustaz Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Forum tersebut dikendalikan oleh Dr. Awang Haji Azlan bin Haji Jaludin, Ketua Seksyen Kualiti, Unit Kualiti dan Keselamatan Pesakit, selaku moderator.
Forum ini dihadiri oleh lebih kurang 300 orang peserta yang terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan, pensyarah serta pelajar bidang kesihatan dan perubatan daripada institusi pendidikan tempatan.
Melalui forum ini, Kementerian Kesihatan berharap agar nilai belas ihsan terus diterapkan dalam amalan harian warga kesihatan serta dipupuk dalam kalangan pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan bagi menyokong penyampaian penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berpusatkan pesakit.

– T A M A T –
Rujukan : KK/PR/3/1