Ahad, 21 Jamadilawal 1448H bersamaan 01 November 2026 – Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Kesihatan, akan menyertai Kempen Keselamatan Ubat-Ubatan Global, #MedSafetyWeek 2026, yang akan berlangsung secara dalam talian melalui media sosial mulai 2 hingga 8 November 2026, bersama lebih 120 buah negara di seluruh dunia. Kempen antarabangsa ini diterajui oleh Uppsala Monitoring Centre (UMC), iaitu Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pemantauan Ubat Antarabangsa, dengan sokongan WHO, ahli-ahli International Coalition of Medicines Regulatory Authorities (ICMRA) serta pelbagai organisasi kebangsaan dan antarabangsa yang terlibat dalam aspek keselamatan ubat-ubatan.
Kempen pada tahun ini membawa tema “Jangan Abaikan Kesan Sampingan yang Disyaki, Laporkan”, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengenal pasti dan melaporkan kesan sampingan ubat-ubatan yang disyaki, dalam usaha memperkukuh pemantauan keselamatan ubat-ubatan serta melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.
Walaupun ubat-ubatan memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa, merawat penyakit dan meningkatkan tahap kesihatan, penggunaannya juga berpotensi menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Kesan sampingan tersebut boleh berlaku secara tiba-tiba, beransur-ansur atau selepas penggunaan ubat-ubatan dalam tempoh yang berpanjangan. Sesetengah kesan sampingan dapat dikenal pasti dengan jelas, manakala sebahagian yang lain mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda yang ketara dan hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan atau ujian tertentu.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai, khususnya para pesakit dan profesional kesihatan, supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang kesan sampingan yang disyaki berpunca daripada penggunaan ubat-ubatan dan melaporkannya kepada pihak yang berkenaan.
Laporan yang diterima merupakan sumber maklumat penting dalam membantu pihak berkuasa, termasuk Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam, untuk mengenal pasti, menilai dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang risiko keselamatan ubat-ubatan yang berpotensi menjejaskan kesihatan orang awam.
Kementerian Kesihatan menekankan bahawa laporan daripada orang awam dan profesional kesihatan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penggunaan ubat-ubatan sentiasa dipantau. “Laporan daripada orang awam dan profesional kesihatan memainkan peranan penting dalam membantu memantau keselamatan ubat-ubatan. Setiap laporan yang diterima dapat meningkatkan pemahaman mengenai keselamatan pesakit, di samping membantu melindungi orang awam daripada risiko kemudaratan pada masa hadapan.
Kesan sampingan ubat-ubatan berkemungkinan berlaku apabila seseorang pesakit mula mengambil ubat baharu, mengalami perubahan dos pengambilan ubat, mengambil beberapa jenis ubat secara serentak atau mengambil ubat bersama makanan tertentu mahupun produk herba.
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa membaca risalah maklumat pesakit atau arahan yang disertakan bersama ubat-ubatan serta mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan mengenai kesan sampingan yang diketahui.
Orang ramai juga digalakkan untuk memberikan perhatian terhadap sebarang gejala yang dialami, khususnya jika gejala tersebut menjejaskan aktiviti harian, bersifat serius atau tidak disenaraikan dalam risalah maklumat ubat. Sebarang kesan sampingan yang disyaki hendaklah dilaporkan walaupun pengguna belum dapat memastikan sama ada gejala tersebut benar-benar berpunca daripada ubat yang diambil.
Kementerian Kesihatan turut menekankan bahawa setiap laporan, walaupun dianggap kecil, mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada usaha meningkatkan keselamatan penggunaan ubat-ubatan. “Melaporkan kesan sampingan yang disyaki mungkin dianggap sebagai satu tindakan kecil, namun ia boleh membantu menjadikan penggunaan ubat-ubatan lebih selamat untuk semua. Jika awda mengesyaki sebarang kesan sampingan, jangan abaikan, laporkan.
Kempen #MedSafetyWeek 2026 merupakan kempen keselamatan ubat-ubatan global terbesar setakat ini, dengan penyertaan lebih daripada 130 buah organisasi dari lebih 120 buah negara yang akan bersama-sama menyebarluaskan mesej keselamatan ubat-ubatan dalam lebih 60 bahasa.
Di Negara Brunei Darussalam, Pusat Kebangsaan Pemantauan Reaksi Ubat Advers, Kementerian Kesihatan, bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengurus aktiviti farmakovigilans, termasuk pengumpulan, penilaian dan pemantauan laporan reaksi ubat advers serta kejadian advers berikutan imunisasi.
Sempena kempen yang berlangsung pada 2 hingga 8 November 2026, orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan ubat-ubatan dengan menyebarluaskan mesej kempen melalui media sosial menggunakan tanda pagar #MedSafetyWeek serta mengikuti perkongsian maklumat melalui akaun Instagram rasmi @pharmacybrunei.
Kementerian Kesihatan turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan ubat-ubatan dan tidak mengabaikan sebarang gejala yang disyaki berkaitan dengan penggunaannya.

-TAMAT-
Rujukan: KK/PR/3/1