Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan DUA produk kosmetik yang mana hasil dari ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk tersebut dicemari dengan bahan terlarang/bahan racun berjadual yang tersenarai di dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan.
Produk kosmetik tercemar yang berkenaan adalah seperti berikut:
No. | Nama Produk | Pengilang | Dicemari dengan |
1 | Skin Magical Orange Cucumber Rejuvenating Kit Premium – Premium Rejuvenating Facial Toner | Dibuat di Republik Filipina | Hydroquinone dan Tretinoin |
2 | Skin Magical Orange Cucumber Rejuvenating Kit Premium – Premium Rejuvenating Cream | Dibuat di Republik Filipina |
Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibat kan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.
Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Penggunaan tretinoin tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Penjualan produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.
Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.
-TAMAT-
Rujukan : KK/PR/1
Tarikh : 08 April 2025M / 09 Syawal 1446H