Sign In

PARACETAMOL P-500

PRESS INFO

​PRODUK UBAT PARACETAMOL P-500

 

Rabu, 20 Zulkaedah 1445H bersamaan 29 Mei 2024M – Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan susulan dari terdapatnya amaran melalui media sosial berkenaan dengan ubat paracetamol 500mg, P-500 yang dikilangkan oleh Apex Laboratories Private Limited, India. Amaran tular ini juga pernah tular beberapa tahun yang lalu dan kini diedarkan lagi melalui media sosial yang mendakwa ubat P-500 berkenaan telah dicemari dengan virus Machupo.

 

Virus Machupo, atau virus demam berdarah Bolivia, adalah virus yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, sakit otot, gusi berdarah dan sawan. Virus Machupo boleh berjangkit melalui kontak dengan virus berkenaan, terutamanya melalui air liur, najis dan air kencing tikus yang dijangkiti.

 

Kementerian Kesihatan dengan ini memaklumkan bahawa produk ubat P-500 keluaran Apex Laboratories Private Limited, India adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam mahupun produk ubat-ubatan lain yang dikeluarkan oleh pengilang yang sama. 

 

Kementerian Kesihatan dengan ini juga ingin memaklumkan bahawa produk ubat berkenaan tidak ada kebenaran untuk pengimportan dan penjualan di negara ini serta tidak ada laporan yang diterima berhubung jangkitan virus Machupo yang dikaitkan dengan pengambilan ubat paracetamol setakat ini.

 

Ubat paracetamol adalah ubat analgesik yang digunakan untuk melegakan sakit atau demam dan menurunkan suhu badan ke paras suhu normal. Merujuk kepada keperluan Perintah Ubat, 2007, semua produk ubat-ubatan termasuk ubat paracetamol mesti berdaftar dan / atau diberi kelulusan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam sebelum dikilangkan, diimport dan dipasarkan di negara ini.  Pihak syarikat perlu mengemukakan dokumen-dokumen relevan semasa proses pendaftaran dalam memastikan produk tersebut adalah terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan sebelum diberikan kebenaran pemasaran. Disamping itu, semua produk berdaftar juga perlu mematuhi keperluan spesifikasi produk termasuk pelabelan dalam memastikan informasi penting berkenaan produk dapat dirujuk oleh pengguna. Ubat paracetamol adalah ubat yang boleh diperolehi di kedai-kedai runcit dan farmasi tanpa preskripsi dari doktor dan adalah selamat jika penggunaannya mengikut arahan yang diberikan pada pelabelan.

 

Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan secara beterusan dan keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan.  Untuk makluman dan pertanyaan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesanan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi melalui talian telefon 2393301 atau 2393230 sambungan 208 atau menghubungi Talian Darussalam 123.

 

-T A M A T-

 

 

Tarikh:             20 Zulkaedah 1444H / 29 Mei 2024M

Rujukan:          KK/PR/3/1


Attachments