Selasa, 20 Ramadhan 1447 bersamaan 10 Mac 2026 – Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran (Bacaan Juzuk 26) diselajurkan dengan Bacaan Tahlil dan Doa Arwah; Doa’ Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam; sembahyang fardhu Asar berjemaah dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadhan pada tahun ini. Majlis tersebut diadakan di Surau Dhafwatul Ai’sy, Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong.
Tetamu Kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.
Majlis berkenaan diselajurkan dengan penyampaian derma kepada 4 orang anak yatim daripada warga kakitangan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam dan Pejabat Kesihatan, Temburong.
Majlis bertadarus ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara warga Kementerian Kesihatan dengan warga Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong, tetapi ianya juga untuk memperkukuhkan kesedaran terhadap kepentingan nilai-nilai Islam dalam membentuk peribadi yang lebih berdisiplin, ikhlas, dan bertanggungjawab dalam menjalankan amanah serta tugas-tugas yang dijalankan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Pg Mohammad Khiruddin bin Pengiran Hj Yusoff, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan; Ketua-ketua Jabatan; beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

– T A M A T –
Rujukan: KK/JDP/ PR 3