Hari Khamis, 15 Ramadhan 1447H / 05 Mac 2026M– Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadhan pada tahun ini. Majlis tersebut diadakan di Surau Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Tetamu Kehormat Majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya majlis bertadarus dan diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Mahrumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman Dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkian Mu’Izzaaddin Waddaulah dan juga bagi pegawai dan kakitangan Hospital yang sudah kembali kerahmatullah. Majlis seterusnya diteruskan dengan penyampaian derma kepada 17 orang anak yatim daripada warga kakitangan Hospital Suri Seri Begawan dan Pusat Kesihatan bagi Daerah Belait.
Majlis Bertadarus Al-Quran ini merupakan wadah pengisian rohani yang diadakan bagi memperkukuhkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga Kementerian Kesihatan, khususnya dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Melalui pembacaan dan tadabbur ayat-ayat suci Al-Quran, majlis ini bukan sahaja menjadi platform mempertingkatkan amalan ibadah, malah menyemai budaya kerja yang berintegriti, berempati dan berteraskan nilai-nilai murni selaras dengan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Pg Mohammad Khiruddin bin Pengiran Hj Yusoff, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan; Ketua-ketua Jabatan; beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.
– T A M A T –
Rujukan: KK/JDP/ PR 3