Sabtu, 02 Syaaban 1446H bersamaan 01 Februari 2025M – Kementerian Kesihatan dengan bantuan dan kerjasama dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara serta Jabatan Bandaran telah menjalankan sebuah operasi bersepadu dan berjaya menahan seorang wanita warga asing yang terlibat dalam menjalankan perkhidmatan estetik dan kecantikan tanpa kebenaran di salah sebuah hotel di negara ini. Operasi sepadu tersebut dijalankan pada 30hb Januari 2025 berikutan maklumat yang diterima dari orang ramai, mengenai perkhidmatan estetik dan kecantikan yang diiklankan melalui pelbagai platform media sosial termasuk TikTok, Facebook dan Instagram. Antara perkhidmatan yang diiklankan termasuk prosedur Intravenous dripping (IV dripping) untuk memasukkan cecair, ubat-ubatan dan produk kosmetik ke dalam saluran darah bagi tujuan rawatan pemutihan kulit dan pelangsingan badan, serta rawatan threadlifting dan filler bagi tujuan pengubahsuaian badan.
Suspek telah ditahan semasa menjalankan prosedur rawatan IV dripping kepada pelanggannya. Pihak penguatkuasaan telah mendapati pelbagai bukti termasuk peralatan perubatan seperti jarum, picagari, kanula intravena dan set IV drip, beberapa ubat-ubatan dan produk kosmetik yang tidak berdaftar, dan rekod pelanggan-pelanggan yang menerima rawatan.
Kementerian Kesihatan memandang serius terhadap perkhidmatan perubatan estetik dan kecantikan yang dijalankan tanpa lesen dan kelulusan yang berkelayakan. Amalan sedemikian jika dilakukan oleh individu yang tidak berkelulusan dan tidak berlesen boleh menimbulkan risiko yang serius kepada kesihatan dan keselamatan orang awam, kerana boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius, termasuk jangkitan (seperti HIV, hepatitis, dan sepsis), reaksi alahan, kerosakan organ (buah pinggang, hati, jantung, saraf, paru-paru, dan saluran darah), kecacatan kekal dan juga boleh membawa kepada kematian.
Kementerian Kesihatan giat bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap aktiviti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disyaki bertentangan dengan peraturan dan perundangan perubatan dan kesihatan di negara ini. Ianya adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Pengamal Perubatan dan Doktor Gigi, Penggal 112, Undang-undang Brunei, bagi mana-mana individu yang tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran sebagai pengamal perubatan yang disyaki menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dihadkan pada pengamal perubatan berdaftar di negara ini. Seterusnya, adalah menjadi kesalahan di bawah Perintah Perubatan, 2007 bagi mana-mana individu yang tidak mempunyai kebenaran dan lesen yang sah daripada Kementerian Kesihatan untuk mengimport, menggunakan dan menjual ubat-ubatan terkawal, produk kesihatan dan barangan kosmetik di negara ini, untuk digunakan bagi tujuan rawatan pelanggan.
Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan sebarang promosi perkhidmatan estetik dan kecantikan di laman media sosial terutama sekali oleh individu-individu yang tidak berdaftar dengan pihak autoriti perlesenan atau pengamal yang berkelayakan. Orang ramai adalah disarankan untuk memahami risiko yang berkaitan dengan prosedur perubatan estetik dan kecantikan serta mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan berdaftar sebelum menjalani sebarang prosedur tersebut.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai melalui pemantauan dan penguatkuasaan, orang ramai adalah digalakkan untuk melaporkan sebarang perkhidmatan rawatan estetik dan kecantikan yang disyaki tidak sah dengan menghubungi Kementerian Kesihatan di +673 2380485, e-mel ke corp.comms@moh.gov.bn, atau Talian Darussalam 123.
– TAMAT –
Rujukan : KK/PR/1
Tarikh : 01 Februari 2025M / 02 Syaaban 1446H