Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak membeli atau mengambil produk herba, HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi susulan amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Health Sciences Authority (HSA), Singapura dan ASEAN Post-Marketing Alert System (PMAS).
Berdasarkan hasil ujian makmal yang dijalankan oleh HSA, Singapura, produk ini dicemari dengan bahan racun berjadual yang tersenarai di bawah Akta Racun, dan tidak diisytiharkan pada label produk. Antara bahan yang dikesan termasuk dua (2) jenis steroid iaitu dexamethasone dan prednisolone; dan diclofenac, iaitu bahan untuk melegakan sakit dan mengurangkan keradangan. Adalah dimaklumkan kepada orang ramai bahawa bahan-bahan ini adalah diklasifikasikan sebagai ubat yang hanya boleh digunakan untuk rawatan atas arahan dan pengawasan ahli profesional kesihatan berlesen seperti doktor. Penggunaan bahan-bahan ini tanpa pemantauan boleh menyebabkan kesan mudarat yang membahayakan kesihatan, terutamanya jika diambil secara berterusan.
Pengambilan steroid, dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras gula dalam darah yang boleh mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang seperti osteoporosis, peningkatan risiko jangkitan, serta boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome. Ciri-ciri Cushing’s syndrome adalah seperti muka bulat atau moon face, serta kegemukkan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil. Penghentian steroid tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan gejala penarikan steroid atau steroid withdrawal effects dan adrenal insufficiency (satu keadaan penarikan steroid yang serius, di mana badan tidak menghasilkan hormon steroid yang mencukupi selepas menghentikan penggunaan steroid jangka panjang). Simptom penarikan termasuk keletihan, kelemahan menyeluruh, sakit otot dan sendi, tekanan darah yang rendah, sawan atau shock.
Diclofenac ialah bahan ubat untuk melegakan sakit dan mengurangkan keradangan yang perlu digunakan di bawah pengawasan perubatan yang rapi, terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah jantung atau buah pinggang. Penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan pendarahan gastrik yang serius, serta masalah kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar. Bahan ini juga boleh memburukkan lagi fungsi buah pinggang bagi pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan penjualan produk herba HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi. Berikutan dari amaran keselamatan ini, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah membeli dan memakan produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas memakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Orang ramai adalah juga dinasihatkan agar mendapatkan nasihat daripada doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil sebarang produk herba atau suplemen kesihatan. Elakkan daripada membeli atau menggunakan produk dari sumber yang tidak diketahui, terutama sekali melalui platform online. Orang ramai juga dinasihatkan untuk meneliti setiap tuntutan produk dengan berwaspada, khususnya produk yang mendakwa memberi kesan segera atau ‘tiada kesan sampingan’.
Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti Facebook dan sebagainya), diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun, 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Disamping itu, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan dua belas (12) bulan penjara.
Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan sekiranya mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini atau mana-mana produk lain yang diragui kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi.
Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan secara beterusan dan keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan.
Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.

-TAMAT-
Rujukan : KK/JDP/PR 3/3
Tarikh : 01 Jamadilakir 1447H / 22 November 2025