Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan satu (1) produk kesihatan seperti tersenarai di bawah. Berdasarkan hasil laporan ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk berkenaan mengandungi bahan aktif farmaseutikal yang tidak diisytiharkan, yang dikawal di bawah Akta Ubat Penggal, 285 dan tidak dibenarkan dalam Produk Kesihatan.
Produk Kesihatan berkenaan adalah seperti berikut:
No. | Nama Produk | Pengilang | Dicemari dengan |
1. | Bainian Ginkgo Niao Suan Wan (Pil Urik Asid) | Zidetang, Taiwan | Dexamethasone/ Betamethasone |
Penggunaan bahan-bahan ini tanpa pemantauan perubatan, boleh menyebabkan kesan mudarat yang membahayakan kesihatan, terutamanya jika diambil secara berterusan.
Pengambilan steroid seperti Dexamethasone dan Betamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah yang boleh mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang seperti osteoporosis, peningkatan risiko jangkitan, serta boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome. Ciri-ciri Cushing’s syndrome adalah seperti muka bulat (moon face) serta kegemukkan pada bahagian atas badan dengan anggota tangan dan kaki yang kelihatan kurus. Penghentian steroid secara mendadak tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan gejala penarikan (withdrawal symptoms). Gejala-gejala penarikan termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, paras gula darah rendah, tekanan darah yang rendah serta dehidrasi.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk tersebut. Sehubungan dengan dapatan ini, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas memakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan nasihat daripada doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil sebarang produk kesihatan. Elakkan daripada membeli atau menggunakan produk dari sumber yang tidak diketahui, khususnya melalui platform dalam talian. Orang ramai juga dinasihatkan untuk meneliti setiap tuntutan produk dengan berwaspada, terutamanya produk yang mendakwa memberi kesan segera atau ‘tiada kesan sampingan’.
Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk tersebut (termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Ubat, Penggal 285 untuk menjual produk berkenaan yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan denda kompaun boleh dikenakan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi $5000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan jika sekiranya mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini atau mana-mana produk lain yang diragui kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi. Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan secara beterusan dan keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan.
Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.

-TAMAT-
Rujukan: KK/JDP/PR 3/2
Tarikh: 17 Syawal 1447H / 06 April 2026M